Sunday, May 31, 2009

sayang isteri tinggal-tinggalkan...


Al-Quran melalui perintah mahukan setiap suami bergaul baik dengan isteri-isteri mereka dengan cara yang baik atau makruf.

Di dalam meneladani kehendak ayat ini ahli tafsir mengemukakan beberapa pandangan melalui pengamatan masing-masing.
Di antara mereka ialah Ibn Kathir. Beliau berpendapat bahawa ayat ini, "… dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik…" bermaksud: para suami hendaklah memperelokkan bicara mereka bersama isteri, hendaklah memperelokkan tingkah laku kepada mereka serta menjaga penampilan yang baik mengikut kemampuan kamu seperti mana yang kamu harapkan daripada mereka iaitu isteri-isteri kamu, maka hendaklah kamu melakukan yang baik-baik itu terhadap mereka seperti yang kamu mahukan daripada mereka. (Ibn Kathir, jld:1, hlm: 466).

Al-Zamakhsyariy dan Fakhruddin al-Raziy berpendapat: "bermalam dengan isteri (memenuhi hak-hak batin bagi si isteri) melangsaikan nafkah dan bercakap baik dengan mereka". (al-Zamakhsyariy, jld:1,hlm:490, Fakhruddin al-Raziy, jld:10,hlm:12) .
Al-Jashsas dalam tafsirnya berpendapat: "Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan para suami supaya bergaul baik dengan isteri-isteri mereka dengan baik, perkara yang baik itu ialah menunaikan hak-hak seorang isteri dengan membayar mas kahwinnya serta nafkah dan pemberian antara isteri-isteri (jika lebih dari seorang), juga tidak menyakiti isteri dengan bahasa yang kesat dan kasar serta ditegah dari memalingkan wajah dari si isteri". (al-jashsas, Ahkam al-Quran, jld: 2, hlm: 109).

Tafsir Muhammad Rasyid Reda menarik dalam huraian ayat ini, beliau menjelaskan bahawa
: "Wajib ke atas kamu wahai orang-orang yang beriman supaya berbuat baik dengan isteri-isteri kamu dalam pergaulan, dengan menjadikan persahabatan kamu serta pergaulan kamu dengan mereka dengan cara yang baik sesuai dengan dengan tabiat mereka sebagai wanita.

"Sesungguhnya setiap seorang dari pasangan suami isteri ialah membawa kegembiraan dan kebahagiaan" . (Muhammad Rasyid Reda, Tafsir al-Manar, jld:4,hlm:456) .
Maka jelas lagi terang bahawa hukum bergaul baik dengan isteri adalah wajib.

Bagi suami yang gagal menggauli isterinya dengan baik sedangkan dia taat kepada suaminya adalah berdosa.

Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Lelaki yang paling sempurna imannya ialah lelaki yang paling sempurna akhlaknya, dan sebaik-baik kamu (baik akhlak) ialah mereka yang baik dengan isteri-isterinya" . (riwayat al-Tarmidzi, Tuhfatu al-Ahwaziy, jld:4,hlm:326 ).
Dalam hadis yang lain daripada ibn Abbas r.a baginda bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik dengan isterinya, dan aku adalah orang paling baik dengan isteri-isteriku" . (riwayat al-Tarmidzi, Tuhfatu al-Ahwaziy, jld:4,hlm:325) .

Di dalam kedua-dua hadis di atas baginda SAW menegaskan bahawa sebaik-baik manusia di kalangan bani Adam ialah orang baik dengan isterinya, ini kerana isteri adalah lebih utama dijaga haknya sebelum orang lain.

Berperangai buruk
Jika seorang suami dengan isterinya baik maka dia juga baik dengan orang lain, dan sekiranya dia berperangai buruk dengan isterinya maka dia juga akan bersikap hodoh dengan orang lain.
Di antara perkara yang dapat membantu suami menjadi baik dengan isterinya mesti memiliki kemahiran-kemahiran berikut.
Pertama: Mengenal tabiat wanita; ini kerana Allah SWT menjadi Adam dan hawa dengan tabiat fizikal yang berbeza. Berbeza dari sudut perasaan dan emosinya. Orang lelaki tabiatnya kasar, orang perempuan tabiatnya lembut.
Baginda SAW telah banyak berpesan kepada kaum lelaki supaya berlemah-lembut dan berhemah dalam mendidik dan menjaga mereka.

Kedua, mengenang kebaikannya. Kalau diadili dengan penuh kewarasan setiap orang suami akan mendapati insan yang paling banyak berkorban untuk suami ialah isteri.
Walaupun isteri mempunyai kesilapan dan kesalahan itu kerana emosinya dan hormonnya yang kadang-kadang tidak stabil, ini tidak memberi gambaran keseluruhan tabiat isteri.

Saya yakin bahawa isteri banyak sumbangannya kepada suami oleh itu fikir-fikirkan ketika mereka melakukan kesalahan atau kesilapan.
Sesungguhnya manusia tidak ada yang sempurna dan tidak ada yang tidak melakukan kesilapan. Tutuplah kesalahannya dengan kebaikannya.

Ketiga, menutup keaibannya; tiada yang sempurna. Allah SWT menjadikan manusia sering memerlukan antara satu sama yang lain.
Mengaibkan
Jangan diaibkan isteri kepada sesiapa pun, walaupun kepada saudara dan sahabat handainya. Keaiban isteri juga cermin bagi suami, apabila suami mengaibkan isteri maksudnya dia mengaibkan dirinya sendiri.

Keempat, kemungkinan kebaikan ada pada isteri yang dibencinya; jangan dibenci atau dicaci mungkin isteri yang dibenci oleh si suami itu ada kebaikan padanya, yang lambat laun pasti akan zahir.

Kelima, mengenal kedudukan isteri di rumah. Dalam banyak keadaan si isteri tinggal di rumah, adakalanya selepas berumahtangga ada di kalangan isteri yang tiada lagi baginya kehidupan bersosial, kerana suami dan anak-anaklah segala-galanya.

Justeru,berlaku adillah kepada isteri-isteri yang berada di bawah jagaan anda supaya amanah Allah SWT tidak terabai.

1 comment:

a.t.u.l.a.s.c.a. said...

ana tertarik dengan cara ke-2 melayani isteritu...teringat kisah saidina umar al-khattab yang rela dibebel isteri...katanya:-

"Tidak patut kalau aku tidak sabar dengan kerenahnya. Bukankah dia telah memasak makanan untukku, membasuh pakaianku, bersabung nyawa melahirkan zuriat untukku, menjaga anak-anakku dan dia tempat aku mendapat hajatku? Sabarlah, sesungguhnya keadaannya itu tidak lama (nanti akan baik sendiri)."