NABI Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Wahai Muhajirin, lima bala akan ditimpakan ke atasmu dan aku berdoa agar kamu tidak ada ketika bala ini menimpa... Satu antaranya adalah, apabila zina zahir dalam masyarakat secara terang-terangan, wabak yang dahsyat dan penyakit yang belum pernah menjangkitimu akan menyerangmu ketika itu." (Hadis riwayat Ibn Majah, al-Baihaqi dan al-Bazzar).
Pada hari ini, penyakit jangkitan seksual kerap menjangkiti individu melalui hubungan seks rambang. Kira-kira 20 jenis penyakit dari kumpulan ini dikenal pasti dan paling berbahaya adalah Aids. Di Amerika Syarikat ia menjangkiti 13 juta orang setahun dan kebanyakannya adalah wanita. Antara komplikasi yang timbul daripada penyakit ini adalah mengandung di luar rahim, barah, kemandulan, sakit jantung, infeksi dan sakit puan. Mengikut Institut Alahan dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NIAID) di Amerika, jumlah kes penyakit jangkitan seksual semakin meningkat. Hal ini kerana ramai remaja terbabit dengan hubungan seks tanpa perkahwinan, selain berleluasanya seks bebas dalam masyarakat. (Rujuk NIAID Fact Sheet, An Introduction to Sexually Transmitted Diseases, July 1999)
Zina bukan sekadar hubungan kelamin.
Islam mengutuk segala bentuk perzinaan. Perkara yang boleh membawa kepadanya dianggap buruk dan diharamkan oleh Islam. Allah berfirman bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina." (Surah al-Isra, ayat 32). Antara alat yang boleh merangsang syahwat manusia dan kemudian membawanya kepada zina adalah mata. Contohnya, melihat gambar dan menonton filem lucah adalah satu bentuk zina. Justeru, Allah berfirman: "Katakanlah kepada lelaki yang mukmin, (kawallah) penglihatan mereka dan peliharalah alat kelamin mereka!" (Surah an-Nur, ayat 30).
Berdua-duaan membawa risiko Barat bersikap liberal dalam pergaulan lelaki dan perempuan. Mereka menganggap ia cara hidup yang sepatutnya dicontohi orang lain. Namun, perangkaan menunjukkan, cara hidup sedemikian lebih banyak mendatangkan kerosakan daripada kebaikan. Contohnya, mengikut Jabatan Keadilan Amerika, bagi setiap dua minit seorang wanita mengalami gangguan seksual. Pada 1996, 307,000 wanita menjadi mangsa rogol dan serangan seksual di Amerika. Baru-baru ini kajian oleh National Women Study di Amerika menunjukkan kira-kira 683,000 wanita menjadi mangsa rogol setiap tahun di Amerika.Kebanyakan kes itu membabitkan orang yang dikenali, terutama sedang berdua-duaan dan bertemu janji.
Justeru, larangan bergaul bebas dan berdua-duaan oleh Islam amat relevan dengan dunia hari ini. Larangan ini mendatangkan banyak kebaikan terutama bagi wanita. Bahaya seks ketika haid Islam mengharamkan seks ketika haid. Hukum ini dijelaskan melalui firman-Nya: "Mereka bertanya kepadamu mengenai haid. Katakanlah, haid adalah kotoran. Justeru, hendaklah kamu tidak menyetubuhi wanita ketika haid sehingga mereka suci daripadanya. " (Surah al-Baqarah, ayat 222).
Mengikut Dr Diana Antoniskis (MD) dari Kumpulan Penyelidikan dan Pendidikan yang beribu pejabat di Oregon, risiko jangkitan kuman HIV meningkat di kalangan wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid atau dengan lelaki yang tidak berkhatan. Persetubuhan pada waktu haid juga boleh mengakibatkan pendarahan teruk ke atas wanita.Kajian Dr Winnifield Cutler dan rakannya dari Institut Athena Bagi Kesihatan Wanita di Chester Springs menunjukkan, wanita yang hampir putus haid atau perimenopausal, yang kerap mengadakan hubungan seks ketika haid sering kali mengalami masalah pendarahan yang teruk daripada biasa. Kebiasaannya kes seperti ini akhirnya terpaksa menjalani pembedahan berisiko tinggi untuk membuang rahim atau hysterectomy dan ovari atau ovariectomy. Penemuan ini dilaporkan dalam Journal of Psychosomatic Obstetrics and Gynaecology pada 1996.
Haram homoseks dan lesbian
Nabi Muhammad bersabda: "Perkara yang paling aku takuti menimpa ke atasmu adalah perbuatan kaum Lut. Dilaknati mereka yang melakukan perbuatan seumpama kaum Lut." (Hadis riwayat Ibn Majah, at-Tirmizi dan al-Hakim). Kaum Lut dihancurkan Allah disebabkan mereka tenggelam dengan perlakuan homoseks di kota Sodom. Islam galakkan perkahwinan Berhubung perkara ini Nabi bersabda: "Barang siapa yang mampu untuk berkahwin tetapi tidak berkahwin maka dia bukan daripada umatku." (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi). Dalam riwayat lain, Baginda bersabda: "Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)." (Hadis riwayat Bukhari).
Ciri-ciri suami isteri
Nabi Muhammad bersabda, berhubung dengan kriteria pemilihan isteri, yang bermaksud: "Pilihlah yang mempunyai kebaikan agama, akan selamatlah kamu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Baginda juga tidak melupakan kriteria dalam pemilihan suami, berdasarkan sabda Baginda: "Jika yang datang meminang anak perempuanmu seorang yang kamu redai agama dan akhlaknya, maka terimalah dan kahwinkanlah dia dengan anakmu." (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Wajib mandi selepas hubungan seks Kebersihan diri amat dipentingkan oleh Islam.Umat Islam diwajibkan mandi selepas mengadakan hubungan seks antara suami isteri, walaupun tanpa mengeluarkan air mani. Hal ini seperti sabda Rasulullah: “Apabila kemaluan bertemu dengan kemaluan, wajiblah mandi." (Hadis riwayat at-Tirmizi). Dalam riwayat lain Nabi bersabda: "Walaupun jika tidak mengeluarkan air mani." (Hadis riwayat Muslim dan Ahmad) Jika air mani keluar tanpa hubungan seks (sebagai contoh melalui mimpi), mandi tetap diwajibkan.
Mengikut pakar perubatan dari Institut Teknologi Penjagaan Kesihatan di Washington untuk mencegah penyakit jangkitan seksual daripada merebak, hubungan seks perlulah dilakukan hanya dengan mereka yang dipercayai dan tidak dilakukan secara bebas. Menjaga kebersihan diri sebelum dan selepas mengadakan hubungan seks seperti segera membasuh anggota sulit selepas mengadakan persetubuhan juga penting. Malah, pakar dari institut ini menggalakkan seseorang mandi secara sempurna selepas mengadakan hubungan seks sebagai langkah pencegahan daripada serangan penyakit. (Rujuk The Institute for Technology in Health Care, Safer Sex: Reduce Your Risk Of Disease, After-Sex Hygiene, Washington, 2001).
Persekolahan dan Peperiksaan: Kawan Atau Lawan?
15 hours ago
No comments:
Post a Comment